PENGENALAN

Isipadu cecair merupakan tajuk yang keenam di dalam Sukatan Pelajaran Matematik bagi Tahun Dua. Di bawah tajuk ini,  murid-murid harus menguasai  kemahiran  berkaitan dengan isipadu cecair seperti kosong, setengah penuh, penuh, kurang, banyak, sedikit dan lebih. Murid-murid juga harus dapat membandingkan isipadu cecair di dalam bekas seperti penuh, setengah penuh dan kosong. Selain daripada itu, murid-murid juga harus dapat menguasai kemahiran iaitu menyukat isipadu cecair menggunakan unit yang tidak piawai dan unit piawai seperti liter. Di dalam tajuk  ini juga murid-murid harus dapat membuat perbandingan tentang isipadu iaitu lebih atau kurang dan banyak atau sedikit.
 Sebagai seorang guru Matematik yang berkesan, kita perlu mengetahui strategi pengajaran dan pembelajaran yang dapat membantu murid-murid memahami konsep yang  dipelajari dan menguasai kemahiran di samping mengamalkannya di dalam kehidupan seharian. Di samping  itu juga, seorang  guru matematik juga perlu kreatif dan  inovatif  dalam merancang proses pengajaran dan pembelajaran terutamanya dalam pemilihan alat bantu mengajar yang sesuai dengan kemahiran yang hendak diajar. Penggunaan pelbagai alat bantuan mengajar  akan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik, menambahkan pemahaman murid,tidak membosankan,  menjadikan suasana pengajaran menjadi lebih ceria dan menyeronokkan .
            Di dalam laman blog ini ada ditayangkan  video tentang cara menyukat isipadu cecair,  contoh-contoh alat bantu mengajar dan empat contoh aktiviti pengajaran untuk kumpulan lemah dan cemerlang yang boleh digunakan untuk mengajar tajuk isipadu cecair. Diharapkan alatan dan aktiviti pengajaran yang dipaparkan ini  dapat membantu murid-murid dalam  memahami konsep tentang isipadu cecair. Biasanya murid-murid  tersalah konsep tentang kapasiti muatan sesuatu bekas iaitu semasa membuat perbandingan tentang kapasiti muatan sesuatu bekas.Kadang-kadang murid-murid akan membuat perbandingan tentang kapasiti muatan sesuatu cecair  berdasarkan ketinggian sesuatu bekas. Pada pandangan mereka,bekas yang lebih tinggi adalah lebih banyak kapasiti muatan berbanding dengan muatan bekas yang rendah,walaupun bekas yang rendah mempunyai kapasiti muatan yang besar. Oleh itu kita sebagai seorang guru harus membetulkan salah konsep yang  dibuat oleh murid-murid ini  Berpandukan video,aktiviti dan alat bantu mengajar yang dipaparkan di laman blog ini,diharapkan dapat membantu para guru dalam mengajar konsep yang betul dan murid-murid tidak akan melakukan kesalahan ini lagi.

Di bawah ini merupakan beberapa contoh alat yang digunakan untuk mengukur isipadu cecair.  
                 
Keadaan  saiz bekas yang berbeza dapat mengelirukan kita dalam menentukan isipadu cecair.  Pada hari ini kita amat bertuah kerana dapat menggunakan unit standard untuk menentukan perkara ini. Pelajar sebenarnya pernah melihat ukuran standard isipadu cecair seperti yang terdapat pada botol ataupun tin minuman namun mereka tidak sedar akan perkara ini. Jadi sudah menjadi tugas kita sebagai guru untuk memberikan bimbingan dan tunjuk ajar supaya dapat membantu  murid-murid dalam menguasai konsep matematik supaya dapat diaplikasikannya ke dalam kehidupan seharian
            Terdapat dua unit sukatan yang biasanya digunakan untuk menyukat isipadu cecair pada tahap sekolah rendah iaitu milliliter  (ml ) dan liter ( l ). Dengan adanya unit ini, maka dapatlah kita mengurangkan masalah konsep pelajar terhadap perbezaan isipadu dalam dua atau lebih bekas yang berbeza saiz. Antara alat yang kita boleh gunakan ialah seperti  bikar, silinder penyukat dan sebagainya. Bagi menegaskan lagi perkara ini, di sertakan sebuah video  berkenaan penggunaan alatan menyukat isipadu cecair yang  perolehi dari laman : http://www.youtube.com/watch?v=iPkZlce84ag .